Wednesday 24 April 2013

(25 Gambar) Nora Danish : Segalanya Untuk Rayqal



Siapa saja lelaki yang digandingkan dengannya dalam drama atau filem pasti akan dikatakan ada hubungan istimewa dengannya di luar lokasi.
Katakanlah apa saja, hakikatnya itulah yang dihadapi pelakon jelita, Nora Danish sejak berpisah dengan suaminya, Rizal Ashram Ramli atau Jejai, lebih tiga tahun lalu.
Anuar Zain, Shaheizy Sam, Adi Putra dan Zizan Razak adalah antara nama-nama besar dalam industri hiburan tempatan yang pernah dikaitkan dengannya. Terbaru, pelakon, pengacara dan pemuzik, Qi Razali pula menjadi ‘mangsa’ seterusnya.

Sekali dua, Nora menerima perkara itu sebagai usikan. Namun apabila terlalu kerap dihambat pertuduhan sedemikian rupa, Nora mengakui dia mula rasa muak.
“Memalukan sebenarnya apabila dikaitkan dengan perkara sebegini. Anak saya, Putera Rayqal Ramli Rizal sedang membesar. Gosip seperti ini tidak elok untuk dia dengar.
Saya tidak mahu apabila dewasa kelak, dia membaca cerita-cerita tidak benar mengenai ibunya. Hidup saya ini semuanya untuk Rayqal.

“Setiap hari keluar rumah saya berpesan dengan diri saya supaya sentiasa menjaga tingkah laku saya sebaik mungkin sebagai menghormati maruah saya sebagai wanita dan ibu. Saya berharap gosip-gosip seperti ini dapat dihentikan,” katanya.

Bak kata pepatah, jika tiada angin masakan pokok bergoyang. Berbalik pada gosip dengan Qi, wanita dengan nama sebenar Nora Danish Mohd Hanif, 31, itu berkata, besar kemungkinan perkara itu timbul selepas dia memuat naik gambarnya bersama Qi menerusi laman Instagram.

“Gambar itu bukan berdua sebaliknya bertiga dengan pelakon kanak-kanak iaitu Yana yang turut berlakon dengan kami dalam filem itu.























Saya sebenarnya suka mengambil gambar bersama pelakon-pelakon di set penggambaran selain merasakan saya ada bakat dalam bidang fotografi.

“Tujuan meletakkannya di laman sosial Instagram adalah sekadar untuk berkongsi dengan peminat perkembangan lakonan saya termasuk pembikinan drama atau filem, tapi orang selalu mentafsir hal ini dengan cara berbeza,” katanya.

Nora berkata, status Qi yang masih bujang dan dirinya sendiri yang kembali bersendirian mungkin menjadi kenapa tempias gosip itu berlaku.

“Saya mahu jelaskan bahawa saya dengan Qi hanya sekadar rakan sekerja, tidak lebih daripada itu. Selesai penggambaran, kami akan kembali dengan kehidupan masing-masing.

“Andai kata satu hari saya mahu berkahwin dengan mana-mana lelaki yang ditakdirkan untuk saya, biarlah saya umumkan sendiri. Orang tidak perlu bimbang,” katanya.

Dalam pada itu, Nora berkata, dalam filem Bencinta, Qi memegang watak sebagai sahabat baiknya yang kemudian menyimpan perasaan terhadap seorang gadis, Fathia lakonannya.

“Dalam filem ini Fathia berkahwin dengan seorang lelaki (Farid Kamil). Di awal percintaan dan perkahwinan, Fathia disayangi suaminya namun selepas mendapat anak, dia sering menjadi mangsa penderaan suaminya itu.

“Fathia kemudian mula rapat dengan seorang lelaki lain (Qi) yang sentiasa melindunginya. Saya puji lakonan Qi kerana sebelum ini saya tidak pernah berlakon dengannya namun setiap lontaran dialognya ada perasaan cinta,” katanya.

No comments:

Post a Comment