Friday, 19 April 2013

Tanda-tanda lelaki mulai curang




images“JIKA suami tiba-tiba mendapat panggilan telefon dan dia mula menjarakkan diri serta berbual secara sembunyi-sembunyi, isteri perlu curiga.
“Mungkin itu tanda dia mula curang,” kata pakar motivasi dan kaunseling, Klinik Hushim Motivation and Counselling Consultancy, Hushim Salleh ketika mengulas isu ‘suami hujung minggu’.
Katanya, berdasarkan kajian sepanjang menjalankan kaunseling terhadap beberapa pasangan, beliau mendapati ada suami yang dinaikkan pangkat atau ditukarkan ke kawasan lain dan tinggal berjauhan daripada isteri mula terdorong menjalin hubungan sulit dengan wanita lain kerana kesunyian.
Namun, katanya, semua masalah itu dapat diatasi jika pasangan terbabit bijak mengendalikan masalah dengan menolak perasaan curiga, syak wasangka atau cemburu buta.
Ini kerana cabaran pasangan yang tinggal berjauhan lebih hebat berbanding tinggal serumah.
Hushim mengakui ramai pasangan kini terpaksa tinggal berjauhan disebabkan tuntutan tugas yang memaksa mereka berpindah ke kawasan lain.
Katanya, kebanyakan pasangan itu membabitkan kakitangan kerajaan, perbankan atau yang bertugas dengan syarikat cari gali minyak.
“Kalau pada era 1980-an guru paling ramai terbabit dengan pertukaran dan terpisah jauh dengan keluarga, kini ia turut membabitkan kerjaya lain.
“Jika isteri atau suami terpaksa ditinggalkan kerana tuntutan tugas, jangan cepat memikirkan perkara bukan-bukan, dikhuatiri menimbulkan bibit negatif kerana ia boleh merenggangkan hubungan,” katanya.
Hushim menambah, dia lebih selesa memberi istilah suami hujung minggu ini kepada frasa ‘perkahwinan jarak jauh’ (PJJ) dan pernah mengendalikan kes sedemikian.
“Ada segelintir pasangan boleh bertolak ansur apabila seorang daripada mereka terpaksa meninggalkan keluarga kerana tuntutan tugas.
“Kejujuran kunci penting dalam hubungan kerana ia menjadi teras dalam perkahwinan.
“Kajian mendapati sembilan daripada 10 pasangan berpotensi untuk curang berikutan ada ruang dan peluang melakukannya kerana tidak dapat dilihat pasangan,” jelasnya.
Menurut beliau lagi, jika suami tinggal sendirian atau berkongsi rumah dengan rakan bujang, dibimbangi dia terdorong membawa pulang teman wanita kerana tiada siapa menghalangnya.
“Jika ini tidak dibendung, akan berlaku kejadian tidak diingini,” katanya.
Beliau tidak menafikan perpisahan sementara itu mengundang rasa sunyi dan untuk mengatasinya, pasangan sewajarnya saling berkomunikasi.
Untuk itu, katanya, peralatan komunikasi seperti telefon dan Internet dapat membantu mereka berinteraksi setiap hari.
Hushim turut menyarankan pasangan terbabit kerap berjumpa, terutama jika seorang daripada mereka mempunyai lebih banyak masa.
“Ramai pasangan yang menjalani kaunseling menyatakan tidak sanggup berpisah dengan suami atau isteri, tapi jika enggan mengikut arahan pertukaran, sukar mendapat peluang naik pangkat.
“Ini menyebabkan ada yang rela menolak kenaikan pangkat kerana tidak sanggup berjauhan dengan keluarga,” katanya.
Menurutnya, masalah sedemikian banyak menimpa mereka yang lama mendirikan rumah tangga iaitu antara 10 hingga 20 tahun sehingga ada yang sanggup menghantar notis berhenti kerja bagi mengelak risiko itu.

No comments:

Post a Comment